Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat
lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan
keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr
Cukuplah saban tahun kita mengorbankan 10 Malam Terakhir Ramadhan
dengan persiapan Hari Raya, berlepak-lepak, dan bermain mercun bagi
kanak-kanak. Cubalah kita persiapkan awal-awal lagi persiapan raya itu
agar kita dapat menumpukan perhatian pada 10 Malam Terakhir Ramadhan
tahun 2012 ini. Apa salahnya kan?
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam
al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam
al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun
malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk
mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit
fajar". (al-Qadr: 1-5)
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu 'Abbas; penurunan
yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh
Mahfudz ke Baitil-'Izzah yang terdapat di langit dunia/pertama. Setelah
itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w.
selama 23 tahun.Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal
selama seribu bulan
(iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di
dalamnya malam al-Qadar.Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat
turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan
keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang
malam al-Qadar berikutnya. Menurut Imam Ibnu Kathir; "Banyaknya malaikat
yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam
tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat
sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka
melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap
mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya".Malam
al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni;
pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara
yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama' berpendapat; pada malam
al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada
sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.
Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya malam
al-Qadar?, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w.
dalam sabdanya;
تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan"(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah R.A)
Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut
untuk mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari
isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan
bermunajat kepada Allah S.W.T sambil diikuti oleh para Sahabat R.A.
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa
fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir,
istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.
Tips
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan,
kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian
agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu
semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di
dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada
Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang
tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu
Allah dengan hati yang sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk
iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari.
Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10
malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka
yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan
dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika
anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di
masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau
assignments
dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan.
Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket
nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan
nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih,
menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering
berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan
10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang
bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri
masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui
boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani
ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh
rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin.
Sumber :
-
Artikel iluvislam.com
Hikmah dirahsiakan kehadirannya
Sesungguhnya
ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr,
tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak
hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut,
justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir
Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para
sahabat dan para solihin terdahulu.
Syeikh Muhammad Abduh
berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana
Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula
mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia
kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan
kerosakan.
Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan
kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar.
Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad
sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam.
Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah
kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam
disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat
untuk seluruh alam.
Ada ulama lain yang menyatakan bahawa
penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah
menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit
atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam
al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.
Mengenai
jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam
Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir
dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam
29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.
Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
Sementara
menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada
setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis
Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan
hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar
Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.
Ibnu
Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah.
Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah
yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku
pada malam ke-27.
Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa
kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah
al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali.
Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku
pada malam 27.
Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu
Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat
ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Namun dalil yang paling
kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang
diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul
Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."
Perbezaan
pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa
tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku.
Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh
malam ganjil akhir Ramadan.
Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab
dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha
beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam
saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia
tersendiri.
Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr
Di
antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah
bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang
dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga
baginda sujud di atas tanah yang berair.
Lailatul Qadr adalah
malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih
Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal
kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam
yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha
untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.
Malam itu tenang dan
hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula
memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga
malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan
secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis
teresak-esak.
Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang
menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap
tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
Fokus umat pada malam tersebut
Lailatul
Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai
untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu
dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:
Menghayati malam tersebut dengan ibadah
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Apa
yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah
tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam
al-Qadr.
Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam
terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung
mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam
al-Qadr.
Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan
pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan
berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka.
Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah
dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak
mendapat ganjaran Malam al-Qadr!
Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat
Bukan
sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat
yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya
mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai
ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam
masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.
Lebih-lebih lagi
masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak
di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan
terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan
lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan
peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang
bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan
ibadat puasa.
Fadilat Lailatul Qadr
Mungkin
terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada
disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam
Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'.
Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka
yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada
malam tersebut)?
Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik
malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa
yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan
keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' -
[Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].
Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa
kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut
ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada
malamnya mendirikan qiyamullail.
Di dalam Sahih diriwayatkan
bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah,
seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat
subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut.
(Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami'
Saghir - 6341).
Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat
Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana
yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :
"Barangsiapa
yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan
barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam
(sumber yang sama - 6342)."
Semoga tahun ini kita mendapat rezeki
untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan
misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan
dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.
Sumber Asal: Ustaz Zainudin Hashim, Harakahdaily.net
Sumber Gambar: www.eramuslim.com