Tajuk : Lawatan Sambil Belajar di Loji Air Pembesihan Air
Ulu Kinta
Aktiviti : Kajian Sanitari Loji Air Pembesihan Air
Tarikh : 3 hingga 4 April 2012
Dengan Kerjasama :
Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Perak
Lembaga Air Perak
Pusat Latihan Klinikal PPKP, Batu Gajah, Perak
Pengenalan
Kajian Sanitari merupakan satu
langkah positif (Fact Finding Activity To Reveal System Deficiencies Water
Pollution Source). Ini bukan bermakna kajian kebersihan bertujuan untuk
mencari kesalahan mana-mana pihak samada dari agensi kerajaan mahupun pihak
swasta tetapi ia merupakan satu kaedah ( tool ) bagi mengenalpasti punca-punca
pencemaran di kawasan tadahan dan sistem agihan supaya langkah - langkah
tindakan pembetulan dapat diambil sebelum masalah tersebut menjadi lebih
serius.
Sebarang kelemahan diperingkat
proses rawatan air terutama penggunaan bahan kimia yang boleh mengancam
kesihatan pengguna akan dapat dikesan dan seterusnya langkah-langkah
pencegahan, pemulihan lebih awal atau perancangan masa hadapan dapat dianjurkan.
Dengan adanya aktiviti kajian kebersihan seperti ini akan dapat membantu pihak
kerajaan negeri, pihak berkuasa bekalan air serta lain-lain agensi dapat
mengenalpasti masalah berkaitan bekalan air. Selain itu ianya dapat mengeratkan
hubungan dan jalinan kerjasama antara agensi – agensi terbabit.
Demi kepentingan penjagaan kualiti
air mentah serta membekalkan air yang bersih dan selamat kepada pengguna,
segala masalah dan cadangan perlulah disampaikan kepada pihak kerajaan negeri
supaya dapat diambil tindakan terutamanya dalam meluluskan sesuatu projek
pembangunan yang terlibat di dalam kawasan tadahan air yang menjadi sumber
bekalan air mentah bagi sesebuah loji air. Ini adalah untuk membendung
kemungkinan pencemaran yang akan berlaku terhadap sumber bekalan air tersebut.
Justeru, bagi memenuhi tugasan
kurikulum Diploma Kesihatan Persekitaran Tahun 3 Semester II, Kajian Sanitari
Loji Pembersihan di Ulu Kinta, Perak telah menjadi pilihan bagi penulis bersama
pelatih Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Kolej Sains Kesihatan
Bersekutu, Sungai Buloh, Selangor. Penulis berserta pelatih-pelatih yang turut
serta dalam aktiviti tersebut telah didedahkan kepada perkara-perkara yang
boleh menyumbangkan kepada pencemaran ke atas kawasan tadahan, loji rawatan dan
sistem retikulasi. Penulis dan pelatih-pelatih juga telah dikehendaki
menjalankan kajian kebersihan di tapak dengan mengambil dan menganalisa
sampel-sampel air di kawasan tadahan, loji rawatan dan paip-paip retikulasi.
Keputusan ujikaji dianalisa dan dirumuskan untuk penyediaan laporan kajian.
Latar Belakang Loji
Loji Pembersihan
Air Ulu Kinta dikendalikan oleh Metropolitan Utilities Corporation Sdn. Bhd.(
MUC) iaitu sebuah syarikat hakmilik penuh Intan Utilities Berhad. Perjanjian
konsesi di antara MUC dan Lembaga Air Perak
(LAP) selama 20 tahun bermula dari April 1989 hingga 2024.
Loji ini terletak
lebih kurang 15 KM dari Bandaraya Ipoh
iaitu lebih kurang 5 KM dari Bandar Tanjung Rambutan. Loji ini mula beroperasi
pada awal 1960-an dengan keupayaan rawatan sebayak 90.9 juta liter sehari (20
juta gelen sehari). Keupayaan ini telah dipertingkatkan pada 1990 kepada 136
juta liter sehari ( 30 juta gelen sehari).
Air mentah yang
mengalir masuk ke loji adalah dari Hulu Sungai Kinta. Hulu Sungai Kinta telah diempangkan dan dijadikan
Empangan Sultan Azlan Shah. Kawasan tadahan di hulu sungai meliputi seluruh
Bukit kinta yang tidak dicemari pencemaran kimia. Air bersih yang mematuhi Mutu
Bekalan Air Malaysia
dibekalkan kepada lebih kurang 300,000 pengguna sekitar loji. Ipoh Timur,
Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor dan Tasek.
Persediaan Peralatan pencontohan Air sebelum bertolak ke kawasan tadahan, loji dan sistem retikulasi.
Objektif Lawatan
Objektif Umum
Memberi
pendedahan pembelajaran mengenai aktiviti pengurusan Loji Pembersihan Air Ulu
Kinta berteraskan Garis panduan Kualiti Air Minum 1983.
Objektif Khusus
a. Mengenalpasti sumber-sumber pencemaran di dalam empangan, loji rawatan
dan sistem retikiulasi.
b. Mengenalpasti cara pengambilan sampel mikrobiologi, kimia dan pestisid.
c. Mengetahui tahap mutu air bagi air mentah dan air terawat (in- situ).
d. Mengenalpasti masalah yang wujud semasa kajian dijalankan.
e. Mengenalpasti cadangan penyelesaian terhadap masalah yang dikenalpasti
bagi penambahbaikan semua pihak untuk masa yang akan datang.
Laporan Lawatan
Hari Pertama – 2 April 2012 (Isnin)
Perjalanan bertolak ke Pejabat Kesihatan
Daerah Kinta mengambil masa 3 jam. Bermula jam 11.00 pagi dan tiba di tempat
penginapan lebih kurang 2.00 petang. Penginapan telah telah disediakan oleh
pihak Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Perak iaitu sebuah homestay berupa rumah
teres dua tingkat (Pemilik Penyelia Asrama). Suasana isi rumah memang selesa dan dilengkapi kemudahan
yang baik.
Homestay penulis bersama pelatih sepanjang menjalani akitiviti kajian.
Hari Kedua - 3 April 2012 (Selesa)
Hari kedua pada
sebelah pagi lebih kurang jam 8.30 pagi, penulis dan para pelatih telah
memulakan kunjungan hormat kepada Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan
Daerah (PKD) Kinta, Perak. Penulis dan para pelatih telah diraikan dan
diberikan taklimat kawasan operasi PKD oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Pegawai
Kesihatan Persekitaran dan Ketua operasi lawatan. Tujuan taklimat tersebut adalah
bagi mendedahkan informasi kawasan tinjauan, pembahagian kumpulan dan perancangan
aktiviti kajian kebersihan sanitasi di Loji Pembersihan Air.
Sesi ucapan aluan dan taklimat Kajian Sanitari oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran di PKD Ulu Kinta, Ipoh
Hari Ketiga - 4 April 2012 (Rabu)
Hari ketiga, lebih
kurang jam 8.30 pagi, penulis dan para pelatih telah memulakan perjalanan ke
Ibu pejabat Loji Pembersihan Air Ulu Kinta. Perjalanan mengambil masa selama 45
minit untuk tiba di pejabat Loji
Pembersihan Air Ulu Kinta. Penulis dan para pelatih serta kakitangan PKD Kinta
telah diraikan oleh pihak Loji Pembersihan Air Ulu Kinta dengan ucapan
alu-aluan dan penerangan aktiviti dan kawasan operasi Loji Pembersihan Air Ulu
Kinta. Turut hadir dalam aktiviti tersebut ialah Lembaga Air Perak,
Pelatih-pelatih pegawai perubatan dari Mahsa Collage. Beliau turut menyampaikan
aktiviti pengawasan dan persampelan mutu air di beberapa lokasi termasuk
kawasan tadahan, loji pembersihan dan retikulasi.
Perbincangan dan mengemaskini maklumat
Hasil Tinjauan di Kawasan Tadahan
Gambar 1. Aktiviti
meluaskan kawasan tadahan
Gambar ini
menunjukkan jentera pengorek tanah yang digunakan bagi membesarkan kawasan
laluan air bagi empangan. Keadaan ini menyebabkan hakisan berlaku dan pasir
terus masuk ke dalam sungai. Hal ini mungkin mengundang kepada peningkatan
tahap kekeruhan air. Perkara ini dapat dikesan dengan bacaan pada alat
turbiditimeter.
Gambar 2 ; Kesan
tinggalan kerja mengorek pasir
Gambar 2, diatas menunjukkan
pasir yang masuk terus ke aliran sungai Kinta. Operasi mengorek pasir ini
merupakan salah satu bentuk punca yang menyumbangkan kepada pencemaran yang
mungkin berlaku di hulu sungai Kinta ini.
Gambar 3; Teknik pengudaraan yang
diaplikasi di loji Ulu Kinta.
Proses pengudaraan
berlaku selepas empangan untuk memasukkan oksigen ke dalam air dan untuk
menghilangkan bau. Selepas melalui empangan, air akan mengalir ke Sungai Kinta
dan akan disedut masuk secara graviti melalui muka sauk ke kawasan loji
pembersihan air. Jarak air jatuh ke dasar adalah dari ketinggian 90 meter.
Hasil Tinjauan Di
Loji Pembersihan Air Ulu Kinta
Gambar 4; Tangki
Penyimpanan Klorin
Tangki penyimpanan
klorin yang digunakan untuk menyuntik klorin ke dalam air di penapis pasir dan
dialirkan keluar dari penapis ke saluran air bersih. Hasilnya, air yang keluar
dari penapis merupakan air yang tidak berwarna dan tidak berbau.
Gambar 5; Loji pembersihan air
Gambar
5 menunjukkan situasi aktiviti di loji
pembersihan air. Air dari empangan mukasauk
(Intake) memasuki melalui loji
pembersihan air tersebut untuk rawatan. Bahan kimia Aluminium sulfat
dimasukan ke dalam air untuk mempercepatkan proses koagulasi.
Gambar 6; Tangki penjernihan
Tangki penjernihan ini
perlu diselenggara dan dicuci dengan lebih kerap kerana semasa kajian
dijalankan didapati keadaan tangki berlumut dan melambatkan proses pengaliran
air.
Tinjauan Di Loji
Pembersihan Air Ulu Kinta
Gambar 7; Salah satu stesen pencontohan
Stesen Pencontohan Air PPH Ulu Kinta dibina di tempat yang sesuai dan keadaan
persekitaran stesen juga bersih dan bebas dari pencemaran. Saiz dan ukuran
stesen persampelan adalah mengikut standard yang ditetapkan di dalam Manual
Program Kawalan Mutu Air Minum edisi 2004.
Salah satu stesen
Percontohan Air SRO Kampung Kolam dibina di tempat yang tidak sesuai kerana
keadaan persekitaran yang berdekatan dengan semak samun di lokasi yang sunyi
dan jauh dari laluan awam. Di dalam stesen percontohan didapati wujud sarang
semut dan labah-labah.
Menurut maklumat yang telah disampaikan oleh pengurus Loji, berikut
adalah beberapa info yang dapat dikongsikan oleh penulis dan pelatih-pelatih;
Proses Rawatan
Terdapat 4 struktur utama di takat
air mentah.
i.
Mansonry Weir
Aliran air sungai
kinta disekat oleh Mansonry Weir untuk mengumpulkan air menjadi kolam
tadahan kecil.
ii.
Intake Sump
Air memasuki takat
melalui jeriji besi untuk memisahkan bendasing seperti kayu dan daun. Air akan
mengalir secara graviti ke kolam pra-enapan melalui saluran grit.
iii.
Saluran Grit
Pasir halus akan
tersekat disini sebelum air masuk ke dalam kolam pra-enapan. Selain itu,
saluran ini juga dilengkapi dengan peralatan pembauran bahan kimia Poly Dadmac
sekiranya air mentah menjadi terlalu keruh. Pengadang akan membaur bahan kimia
tersebut.
b) Kolam Pra-enapan
Sebahagian bendasing akan terenap sebelum air mengalir secara graviti ke
loji rawatan. Kolam ini mempunyai tempoh tahanan selama lebih kurang 45 minit.
c) Paip Air Mentah
Air dari kolam pra-enapan mengalir secara graviti ke loji rawatan melalui
paip bergaris pusat 1067 mm (42 inci) sepanjang 4 kilometer.
d) Saluran Pembauran Bahan Kimia
Air yang mengalir
didalam paip keluar ke saluran pembauran. Tawas dan kapur disuntik masuk
kedalam air untuk mendapat ‘pin-sized
flocs’. Proses ini dinamakan flocculation.
Air yang telah dibaurkan kedua-dua bahan kimia ini akan mengalir melalui
hadangan untuk mempercepatkan pembentukkan ‘flocs’.
Bahan kimia Poliakrilamida disuntik kedalam saluran ini untuk pemekatan. ‘Flocs’ akan membesar dan mudah untuk
dienapkan. Selain dari itu, didalam saluran ini juga terdapat jeriji dan skrin
untuk mengeluarkan daun-daun dan ranting kecil.
e) Tangki Penjernih ( Clarifier)
Air yang bercampur
mendakan akan mengalir ke dalam ‘Clarifier’
untuk proses penjernihan. Air dan mendakan ini mengalir masuk melalui penstock
dan paip ke dalam ‘hopper’ yang dalamnya 30 kaki.
Air akan mengalir
ke atas perlahan-lahan meninggalkan mendakan. Mendakan ini akan terampai dan
membentuk Sludge blanket. Sludge blanket
ini memisahkan air kotor dan air jernih. Sludge
blanket ini dikawal oleh ‘Sludge
Concertrator’ yang diprogramkan bukaan injapnya. Bahan enapan didasar akan
dibuang melalui injap bergaris pusat 6 inci. Air jernih yang keluar dari tangki
akan memasuki saluran pengumpul yang menuju ke penapis.
f) Penapis Pasir Deras
Air jernih yang masuk ditapis melalui 3 lapisan ; Pasir, Pasir Kasar dan
Batu Kerikil. Air jernih dari tangki Clarifier
ini akan dibaurkan dengan bahan kimia ; klorin untuk menghapuskan pembiakan
alga didalam penapis. Penapis pasir deras bergantung kepada kekeruhan air dan
julat masa. Biasanya penapis akan dibasuh apabila mencapai 80 jam.
g) Saluran Air Bersih
Air bersih yang
keluar dari penapis merupakan air yang tidak berwarna dan berbau. Untuk
menjadikan air bersih yang boleh diminum air ini akan dibaurkan dengan bahan
kimia iaitu klorin untuk menyah kuman. Kapur menstabilkan sifat kehakisan air
dan flourida untuk rawatan pergigian kepada kanak-kanak. Air bersih dan terawat
ini akan mengalir terus secara graviti ke sistem pengguna dan kolam-kolam
agihan di Tambun, Tanah Hitam dan Tasek.
MASALAH DAN CADANGAN
Masalah
Yang Dihadapi Ketika Kajian Kebersihan
Ketika menjalankan Kajian Kebersihan ini
terdapat beberapa masalah yang dihadapi seperti:
Di Kawasan Tadahan Air
a) Penggunaan jalan menuju ke kawasan tadahan air menyukarkan
kenderaan yang dinaiki untuk melalui kawasan tersebut. Keadaan jalan yang tidak
berturap dan juga banyak mempunyai lubang akibat daripada sering digunakan oleh
lori pengangkut tanah menyebabkan kenderaan yang dinaiki perlu bergerak
perlahan untuk sampi ke kawasan tersebut.
b) Penggunaan kenderaan yang digunakan iaitu Van Pejabat
Kesihatan Daerah Kinta dan juga Van Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sg. Buloh
tidak sesuai untuk melalui jalan yang rosak dan berlubang. Ini boleh
menyebabkan tayar van mudah pancit.
c) Selain itu, bilangan pelatih yang terlalu ramai juga di
dalam sebuah van menyebakan ketidakselesaan pelatih ketika perjalanan menuju
kawasan tadahan tersebut.
d) Kawasan yang curam untuk ke kawasan sungai menyukarkan
pelatih untuk ke tepi sungai untuk mengambil sampel air mentah. Laluan yang
curam tersebut boleh menyebabkan bahaya kepada pelatih dan kemungkinan besar
pelatih mungkin akan tergelincir dan jatuh dari tebing tersebut.
e) Kawasan tebing sungai tersebut yang berpasir akibat daripada
kerja-kerja mendalamkan sungai menyukarkan kerja-kerja pengambilan sampel air
dilakukan. Kemungkinan besar tebing pasir tersebut mungkin akan runtuh jika
ramai pelatih melaluinya untuk ke kawasan tepi sungai.
f) Selain itu, masa persampelan dilakukan tidak bersistematik
kerana tempat ujian in-situ dilakukan jauh daripada sungai menyebabkan masa
yang diambil untuk melakukan analisa fizikal mengambil masa yang lama.
Di Loji Rawatan.
a) Tidak terdapat pekerja loji yang bersama-sama kami ketika
hendak melakukan persampelan air di setiap proses rawatan air di loji tersebut
menyukarkan kami untuk mengetahui dimana tempat yang perlu dibuat persampelan
tersebut.
b) Masa yang terhad ketika berada di loji tersebut juga
menyebabkan proses mengambil sampel dan proses melakukan ujian fizikal air
dibuat secara tergesa-gesa.
c) Laluan di dalam loji yang sempit juga menyukarkan pelatih
yang ramai untuk melalui kawasan tersebut.
d) Terdapat tempat yang sukar untuk mengambil sampel air kerana
tempat tersebut yang sempit dan juga dihalang oleh paip yang besar. Ini
menyebabkan pelatih terpaksa berhati-hati dan mengambil masa yang lama untuk
mengambil sampel air di kawasan tersebut.
Di Tempat Retikulasi
a) Terdapat tempat yang sunyi berdekatan kawasan hutan.
b) Kawasan stesen persampelan yang diselubungi oleh rumput dan
lalang yang tebal menyukarkan pesampelan dilakukan. Pihak loji tidak
meyelenggarakan kawasan stesen persampelan dengan baik dan teguran telah
dibuat.
c) Terdapat stesen persampelan yang telah rosak dan berkarat
dan ini menyebabkan pesampelan air di stesen tersebut terpaksa dibatalkan.
d) Kawasan persampelan yang terletak jauh antara satu dengan
yang lain menyebabkan masa yang diambil untuk sampi disana lama. Batasan masa
menyebabkan proses pengambilan sampel dilakukan dengan cepat.
e) Keadaan jalan yang sibuk juga menyebabkan van yang digunakan
sukar untuk behenti di tepi jalan di mana terdapatnya stesen persampelan yang
perlu dilakukan. Ini menyebabkan van tersebut terpaksa berhenti sedikit jauh dari
kawasan stesen persampelan.
CADANGAN
a) Kawasan tadahan air perlulah kerap dilakukan pemerhatian
kerana kawasan sekitarnya yang dikelilingi oleh hutan. Aktiviti pembalakkan
mestilah tidak dilakukan di sekitar kawasan tadahan air ini kerana ini akan
menyebabkan pencemaran air yang teruk.
b) Aktiviti pemantauan oleh Jabatan Alam Sekitar di kawasn
tadahan air ini perlulah dilakukan sekerap mungkin bagi mengelakkan pembalakkan
haram dilakukan.
c) Aktiviti meluaskan laluan air juga mestilah tidak dilakukan
ketika musim hujan kerana ini akan menyebabkan pencemaran air akibat daripada
tanah yang dikumpulkan di tebing sungai.
Loji Rawatan Air
a) Latihan kepada kakitangan loji perlu ditambah dari segi
kekerapan latihan sebanyak 2 kali setahun. Latihan yang diberikan perlu
merangkumi aspek teknikal dan pengurusan supaya kakitangan loji lebih mahir
serta cekap dalam pengendalian loji rawatan. Dari segi teknikal, kakitangan
loji perlu didedahkan kepada alat uji kaji air supaya ujian air dapat dilakukan
di setiap peringkat rawatan air bagi memantau kualiti air yang dibekalkan serta
tindakan pembetulan dapat dilakukan segera jika hasil ujian dibawah piawai
ditetapkan.
b) Penyelenggaraan alat perlulah mengikut jadual yang trelah
ditetapkan di dalam buku manual kerja alatan loji. Jika alat tersebut tidak
diselenggarakan mengikut jadual yang telah ditetapkan, maka kemungkinan besar
alatan di loji tersebut akan cepat rosak kerana tidak mematuhi manual prosedur
kerja penyelenggaraan alat seterusnya akan memberi kesan kepada kualiti air
yang dibekalkan kepada pengguna.
c) Penukargantian alat yang rosak pada setiap proses di loji
tersebut mestilah segera dilakukan. Ini untuk mengelakkan daripada proses
pengagihan air tidak mengalami sebarang masalah yang mungkin menyebabkan
gangguan bekalan air kepada pengguna.
d) Alatan yang tidak digunakan di dalam loji dan sekitarnya
mestilah dialihkan. Ini akan menyebabkan kesesakan di dalam loji dan akan
menyebabkan bahaya kepada pekerja loji. Oleh itu kesemua alatan yang tidak lagi
digunakan oleh pihak loji mestilah dikumpulkan di suatu kawasan di luar kawasan
loji.
e) Kawasan muka sauk juga mestilah diselenggarakan dengan baik.
Rumput-rumput perlulah dibersihkan, pagar yang roboh mestilah dibaiki dan
kerja-kerja pendalaman muka sauk juga perlulah dilakukan. Semua proses rawatan
air di loji ini perlu dijalankan dengan sistematik dan berkesan. Semua
peringkat pemprosesan atau rawatan perlu diselenggara oleh pengawai yang
bertugas.
Kawasan Retikulasi
Tindakan pemulihan
untuk Kawasan Agihan perlu dilakukan dengan segera iaitu :
a) Proses flushing,
scouring dan disinfeksi paip agihan perlu dijalankan dengan segera selepas
kerja membaik pulih kebocoran atau secara berkala bagi memastikan semua kelodak
dan mendapan di dasar paip agaihan dikeluarkan. Pembinaan stesen persampelan
hendaklah mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Manual Program KMAM edisi
2004. Stesen Persampelan yang rosak perlulah segera dibaiki.
b) Stesen persampelan di setiap SRO perlu disediakan bagi memudahkan kerja-kerja persampelan
dilakukan.
c) Menjalankan pemantauan ke atas Sistem Retikulasi bagi
mengenalpasti kerosakan yang berlaku.
d) Paip-paip yang telah uzur di setiap retikulasi perlulah
diselenggara dan diganti bagi mengelakkan kebocoran daripada berlaku dan ini
boleh menyebabkan perlanggaran pada kualiti air boleh berlaku.
KESIMPULAN
Bekalan air merupakan sumber asas yang amat penting yang
diperlukan di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kehidupan harian manusia
terutamanya untuk minum. Bagi sebahagian besar negeri- negeri di Malaysia,
sumber air mentah bagi bekalan air minum diperolehi dari permukaan (air
sungai). Walaubagaimanapun , disebabkan oleh arus pembangunan yang pesat di
negara kita yang terdiri daripada pelbagai sektor perindustrian, perumahan,
pertanian dan sebagainya menyebabkan air sungai kita telah semakin tercemar.
Pencemaran yang berlaku merangkumi aspek fizikal, bakteri, dan kimia. Perkara
ini perlulah diberikan perhatian kerana kemerosotan air mentah yang diterima
oleh loji – loji air di mana akan mengakibatkan loji – loji rawatan air
konvensional yang sedia ada di negara kita tidak mampu merawat dan memproses
air tersebut untuk bekalan kepada pengguna air tang mematuhi piawaian kualiti
air minum seperti yang telah ditetapkan di dalam “ Piawaian Kualiti Air Minuman
Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia”. Oleh itu, kajian kebersihan air
minum sangat penting untuk dilakukan.
Kajian Kebersihan adalah pemeriksaan dan penilaian di tapak
(lapangan) semua keadaan, peralatan dan amalan dalam sistem bekalan air yang
wujud yang dijalankan untuk mengenalpasti samada sistem bekalan air berkenaan
mendatangkan bahaya atau menyebabkan bahaya kepada kesihatan pengguna.
Kekerapan kajian kebersihan ini selalunya dilakukan setahun sekali. Strategi
pelaksanaan adalah tinjauan awal dan persedian, kajian sebenar dan tindakan
susulan. Jenis- jenis kajian merangkumi tiga aspek iaitu Kajian Kebersihan Punca Air , Kajian
Kebersihan Loji rawatan air, Kajian Kebersihan
Sistem retikulasi/Agihan.
Selain itu,
kepentingan penjagaan kualiti bekalan air kepada orang awam hendaklah juga
disampaikan kepada Kerajaan Negeri supaya dapat memberikan perhatian
sebelum projek-projek pembangunan yang
terlibat di dalam kawasan tadahan air yang boleh mencemarkan sumber bekalan air
mentah.
Lagi Foto Menarik Sepanjang Tempoh Kajian Sanitari Dijalankan.
Keempat-empat foto di atas adalah lokasi kawasan Tadahan Sungai Ulu Kinta
Antara pihak-pihak yang turut serta dalam kajian sanitari
Kenangan Penulis di atas Empangan Sultan Azlan Syah, Loji Air Hulu Kinta, Perak
Penulis menyampaikan cenderahati sebagai penghargaan atas sumbangan pihak PKD Kinta
Penulis bersama Pelatih dari PLK Batu Gajah, Ipoh dan PLK Gombak, Selangor
Tiada ulasan:
Catat Ulasan