Jumaat, 28 Mei 2010

Andragogi - Siri 2


Andargogi - Siri 2


Kesungguhan orang dewasa menguasai suatu kemahiran ataupun pengetahuan adalah untuk keperluan hidup ataupun semasa. Model Andragogi Model andragogi dibentuk berdasarkan andaian-andaian di atas:

Keperluan bagi memenuhi rasa ingin tahu/ke arah kendiri - Orang dewasa perlu tahu mengapa mereka perlu belajar, Tough (1979) mendapati apabila orang dewasa berkemampuan untuk belajar dan memperoleh faedah daripada pembelajarannya dan juga mengambil kira keburukan apabila tidak mempelajarinya. Peranan fasilitator di sini adalah untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan untuk memenuhi rasa ingin tahu, ‘need to know’.

Keperluan menyempurnakan kendiri - Orang dewasa mempunyai kesempurnaan kendiri dan mampu menilai sendiri keputusan dan menentukan hidup mereka sendiri, orang dewasa membangunkan keperluan psikologi mereka bagi mendapatkan perhatian dan penghargaan daripada orang lain.

Peranan pengalaman - Orang dewasa memiliki pelbagai pengalaman yang diperoleh dari zaman remaja. Pengalaman yang dimiliki ini berbeza-beza mengikut latar belakang, cara pembelajaran, keperluan, pencapaian dan minat. Kaedah pembelajaran yang sering digunakan adalah perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah dan bertukar-tukar pengalaman.

Kesediaan belajar - Orang dewasa bersedia untuk belajar perkara yang perlu diketahui dan dipelajari oleh mereka dan mengaitkan apa yang dipelajari dengan realiti kehidupan. Kesediaan belajar ini penting bagi membangunkan kendiri.

Orientasi pembelajaran - Orang dewasa belajar berdasarkan berpusatkan kehidupan dan ia begitu berbeza dengan kanak-kanak yang tertumpu pada pelajaran atau berpusatkan subjek. Setiap perkara yang dipelajari adalah berkaitan dengan hidup mereka.

Peranan motivasi - Orang dewasa mendapat motivasi daripada pendorong luaran (seperti kenaikan pangkat, gaji tinggi) tetapi pendorong dalaman adalah lebih berpengaruh (seperti kualiti kehidupan, penghargaan). Tough (1979) mendapati orang dewasa sentiasa mendapat motivasi untuk pertumbuhan dan pembangunan diri tetapi motivasi ini sering kali gagal kerana wujudnya konsep negatif pada diri pelajar, masa terhad dan program yang disertai tidak menepati prinsip-prinsip pembelajaran dewasa.

Prinsip Andragogi Malcolm Knowles (1980)

1) Orang dewasa perlu terlibat dalam merancang dan membuat taksiran semua kerja mereka. Pelajar mesti diberikan matlamat sejauh mana pencapaian matlamatnya.
2) Pengalaman adalah asas aktiviti pembelajaran. Menjadi tanggungjawab pelajar menerima pengalaman sebagai suatu yang bermakna.
3) Pelajar lebih berminat mempelajari perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan kerja dan kehidupan mereka.
4) Pembelajaran adalah tertumpu pada masalah (problem-centered).



Masalah memberi tenaga, arah dan menggalakkan daya belajar dan ia perlu dimotivasikan. Gibb (1960)

1) Pembelajaran adalah berdasarkan problem-centered.
2) Pemusatan pengalaman menjadi asas pembelajaran.

Pengalaman yang dimiliki mesti bermakna kepada pelajar. Matlamat ditentukan oleh pelajar itu sendiri. Miller (1904)

1) Pelajar perlu diberikan motivasi bagi mengubah tingkah laku. Pelajar perlu sedar tingkah laku yang tidak diingini dan mempunyai gambaran jelas berkenaan dengan tingkah laku yang diingini.
2) Pelajar mempunyai peluang mencuba tingkah laku yang baru.
3) Pelajar memperoleh bahan-bahan pembelajaran yang bersesuai-an yang dapat membantunya.

Berdasarkan ringkasan prinsip-prinsip yang diberikan oleh beberapa tokoh di atas, dapat disimpulkan bahawa prinsip andragogi adalah:

1) Pembelajaran adalah proses yang berterusan. Orang dewasa merasakan keperluan dalam pelbagai bidang kemahiran dan pengalaman yang dimiliki adalah penting bagi masa depan mereka.
2) Orang dewasa belajar dengan lebih baik apabila secara personelnya mereka terlibat dalam proses merancang, menilai dan melaksanakan persekitaran mereka tanpa mengganggu tahap keselamatan estim diri mereka.
3) Orang dewasa memilih dan suka belajar bagi memudahkan mereka mengetahui tahap kebolehan dan kemahiran yang dimiliki dalam semua situasi pembelajaran.
4) Orang dewasa belajar dengan baik apabila mereka mempunyai motivasi untuk berubah, self-discovered atau mempunyai kemahiran dan strategi spesifik.

Orang Dewasa sebagai Pelajar Menurut Knowles terdapat empat definisi dewasa iaitu:
1) Daripada aspek biologi: Individu itu mencapai tahap dewasa apabila mencapai peringkat umur tertentu dan mampu melahirkan anak.
2) Daripada aspek undang-undang: Individu itu dianggap dewasa apabila mencapai syarat yang tertakluk dalam undang-undang dan membolehkan dia terlibat dalam mengundi, memiliki lesen memandu dan berkahwin.
3) Daripada aspek sosial: Individu itu dianggap dewasa apabila dia dapat memainkan peranan sebagai orang dewasa, bekerja sepenuh masa dan berumah tangga.
4) Daripada aspek psikologi: Individu itu dianggap dewasa apabila dia mencapai tahap kesempurnaan kendiri di mana dia mampu menguruskan hidupnya sendiri.

Maka, individu itu dikatakan dewasa apabila dia sudah melalui zaman kanak-kanak dan remaja serta dipengaruhi oleh aktiviti sosial yang disertai semasa berada dalam alam persekolahan. Self-concept dan self-directedness hanya diperoleh apabila individu itu menamatkan zaman persekolahannya, mempunyai kerja sepenuh masa dan berkeluarga. Berbanding dengan kanak-kanak dan remaja, orang dewasa mempunyai tujuan sebagai seorang pelajar.

Pembelajaran dewasa adalah bidang baru dan Knowles mempelopori bidang ini dan menyenaraikan beberapa kriteria pelajar dewasa:

Orang dewasa adalah bebas dan bertindak ke arah kendiri - Orang dewasa perlu bebas untuk bertindak. Fasilitator perlu melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran dan bertindak sebagai fasilitator semasa sesi pengajaran. Contohnya, fasilitator perlu mendapatkan pandangan dan idea pelajar berkenaan dengan topik yang diajar. Sebagai pemudah cara, fasilitator membimbing pelajar berdasarkan pengetahuan yang dimiliki oleh pelajar itu sendiri.

Orang dewasa mempunyai pengalaman- Orang dewasa berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal-hal yang merangkumi aktiviti kerja, tanggungjawab dalam keluarga dan pendidikan masa lampau. Orang dewasa mengaitkan pembelajaran mereka dengan pengalaman yang dimiliki.

Orang dewasa mempunyai matlamat - Sebelum menyertai kursus, orang dewasa tahu matlamat yang perlu dicapai. Fasilitator membantu pelajar mencapai matlamat mereka. Matlamat dan objektif kursus dibuat pada permulaan kursus.

Orang dewasa adalah berpusatkan objektif - Orang dewasa tahu tujuan mereka belajar. Pembelajaran itu diaplikasikan dalam kerja dan memberi nilai kepada mereka. Oleh itu, penting bagi fasilitator mengenal pasti objektif pelajar sebelum kursus itu bermula.

Orang dewasa adalah praktikal - Orang dewasa berminat dengan pengetahuan dan kemahiran yang memberi kebaikan pada dirinya. Oleh itu, fasilitator perlu menyatakan dengan jelas bagaimana pembelajaran itu berguna dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

Orang dewasa perlu dihormati - Fasilitator perlu menghargai pengalaman yang dimiliki oleh pelajar. Pelajar perlu diberi peluang sama rata untuk menyalurkan pendapat berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki.

Kesimpulan


Andragogi atau pembelajaran dewasa adalah proses pembelajaran berterusan dalam jangka masa panjang di mana melibatkan orang dewasa yang sudah matang daripada segi pemikiran. Walaupun pelbagai definisi dilontarkan oleh pelopor-pelopor pembelajaran dewasa, namun ia memberikan kesimpulan yang sama. Andragogi diaplikasikan dalam semua bentuk pembelajaran orang dewasa dengan meluaskan skop-skop latihan, pembangunan, pendidikan dan sebagainya. Fungsi yang nyata dalam konsep andragogi adalah bertentangan dengan prinsip pedagogi. Ia berbeza kerana pedagogi meluaskan pengaruhnya dalam pendidikan formal yang merangkumi pendidikan sekolah rendah, menengah dan institusi-institusi pendidikan tinggi. Orang dewasa tidak lagi bergantung harap dengan orang lain kerana mereka bertindak ke arah kendiri. Ia dianggap bersepadan dengan pemikiran dan pengalaman yang dimiliki oleh orang dewasa. Pengalaman yang dimiliki oleh orang dewasa dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting dalam meningkatkan keupayaan orang dewasa dalam meneruskan proses pembelajaran.

Tiada ulasan: