Jumaat, 26 Ogos 2011

Selamat Berpuasa Dan Menyambut Hari Lebaran 1432H

Alhamdulillah... dipanjatkan doa dan syukur kepada Allah swt, bersama berkat Ramadhan kali ini... Sedar atau tidak kita telah dipilih oleh Allah swt berada hingga ke penghujung 27 Ramadhan... Mudah-mudah dengan rahmat dan pengampunanNya...insyaAllah kita semua akan berjaya melunaskan tugasan selebihnya di sepanjang Ramadhan ini. Dengan bakal berakhirnya hari-hari di bulan Ramadhan ini... sudah kedengaran pelbagai persediaan menyambut Syawal iaitu... hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Adalah lebih wajar dan baik lagi kiranya kita semua mengambil dan merenungkan sejenak... akan aktiviti-aktiviti yang telah kita semua laksanakan. Adakah kita telah manfaatkan sebaiknya kehidupan Ramadhan...? Apakah amalan sepanjang Ramadhan dapat kita rasai kemanisan iman... jika masih belum... marilah kita ambil sepenuhnya... hanya berbaki dua hari lagi...

Ramadhan sudah masuk bahagian ketiga meninggalkan bulan Rahmat dan bulan Pengampunan serta memasuki  bulan Pembebasan dari api neraka  yang kini sampai penghujungnya. Janji ALLAH SWT setiap amalan sunat di bulan Ramadhan ganjarannya sama dengan amalan Fardu manakala setiap amalan Fardu ganjaran berlipat kali yang hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu.

Bagi memastikan puasa benar-benar dapat membentuk peribadi solihin bermula daripada sejauh mana seseorang itu boleh mengenali dan menghayati Tuhan, barulah puasa boleh menghilangkan mazmumah. Puasa untuk melahirkan rasa kehambaan. Kalau puasa tidak boleh melahirkan rasa hamba seperti pokok yang tidak berbuah. Maka apalah ertinya puasa kita. Seharusnya puasa menjadikan kita lebih tawadhu', insaf, sabar, redha, pemurah, berkasih sayang dan pelbagai sifat-sifat mahmudah yang lainnya.

Bulan ramadhan itu adalah bulan peperiksaan. Bagi orang yang menghayatinya dia akan cemas dan bimbang untuk menghadapinya lalu membuat persiapan . Tapi kalau atas dasar ilmu sahaja tanpa penghayatan kita tidak akan faham apa ertinya kedatangan Ramadhan. Puasa itu ada lahir dan batinnya, iaitu kita tidak terlibat dengan segala yang Tuhan larang dan apa yang Tuhan tidak suka. Kalau sekadar tidak makan dan minum tetapi melayan segala kehendak nafsu, itu tandanya tidak puasa.

Ingatlah bahawasanya Bulan Ramadhan itu adalah bulan kemenangan, rahsianya ialah apabila kita dekat dengan Tuhan, waktu itu kalau berperang kita akan menang. Jadi kalau kita hendak mendapat kemenangan kena usahakan puasa sungguh-sungguh dalam mendidik nafsu kita dan dalam mengekang sifat-sifat mazmumah yan bersarang di dalam diri kita. Tambah lagi seteru utama kita iblis dan syaitan sudahpun dirantai. Kalau ada lagi bisikan kea rah kejahatan, itu bukan lagi dari hasutan syaitan sebaliknya dari nafsu kita yang cuba menjadi raja. Kalau puasa sekadar nilaiannya 50% belum layak untuk mendapat kemenangan. Teruskan mujahadatunnafs anda selama sebulan yang akan datang ini. Moga-moga kita beroleh kemenangan di sisi Tuhan.

Syawal 1432 hijrah hadir menyeri sebuah kemenangan. Ia meninggalkan Ramadan, bulan keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Jika Ramadan diiktiraf sebagai penghulu sekalian bulan dan setiap amalan digandakan sepuluh kali ganda maka syawal pula diangkat tarafnya sebagaimana Sya’aban yang menjadi pengapit kepada bulan rahmat dan kemuliaan.

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadis sahih sebagaimana dikeluarkan oleh Muslim dalam kitab Sahihnya dan ashab sunan yang empat bermaksud: Daripada Abi Ayub Al-Ansari RA, Nabi Sallallahualaihi Wasallam bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal, adalah puasanya seperti puasa seumur hidup (dahri)”
Syawal juga adalah manifestasi syukur hamba kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan kurniaan rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka pada bulan Ramadan. Ia adalah bulan kembalinya manusia kepada fitrah setelah sebulan mujahadah puasa. Justeru saya ingin membuat seruan agar sama-sama kita panjatkan syukur yang tidak terhingga kehadrat Allah subhanahu Wata’ala atas nikmat yang besar ini. Syawal adalah keraian suatu kemenangan dan kita disunatkan membesarkan Allah bersyukur kepada-Nya di atas upaya kemenangan fizikal dan spiritual ini sebagaimana Firman-Nya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (surah Al-Baqarah: ayat 185)

Akhirnya, barangkali saya dan sahabat sekalian berhak menaruh harapan agar kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang dan akan juga meraikan kemenangan Syawal untuk kali keseterusnya. Walaubagaimanapun segalanya telah diatur Tuhan. Sangka baik kita pada Allah perlu sentiasa kemas dijiwa bahawa munajat kita dibulan Ramadan telah diterima dan azamlah pada diri untuk tidak lagi mengulangi kesilapan. Sentiasalah dalam munajat istighfar kerana Allah Maha Pengampun.

Sempena Syawal kali ini juga barangkali tidak salah jika saya katakana ia adalah bulan ziarah dan saling bermaafan. Ia seakan adat yang tidak salah jika diamalkan. Sebagaimana kita mahu kembali kepada fitrah suci dari dosa pada bulan syawal ini, begitu jugalah kita seharusnya memastikan agar ukhuwah sesama kita juga sifar daripada dosa sesama kita.

Pastinya di sana ada hati yang terluka dek tingkah kita, ada barang yang terguna atau sebagainya. Semua ini perlu diselesaikan dan kehadiran syawal diharap membuang jauh-jauh ego dan malu kita untuk satu perkataan iaitu MAAF. Sekalipun kita tidak beri’tikad bahawa hanya Syawal bulan bermaafan tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi satu resam yang mengingatkan kita bahwa pada bulan fitrah ini seharusnya kita luangkan masa bertemu antara kita dan saling bermaafan.

Sebagai pengajar dan juga jurulatih klinikal, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri buat semua pengunjung blog ini...terutama para pelatih PPKP dan PKA yang disayangi... 

Sejenak terkenang peristiwa sepanjang Ramadhan 1432H


Majlis berbuka puasa kat rumah saya di Bandar Tasik Puteri, Rawang...sekitar 6 Ogos 2011@ 6 Ramadhan 1432H yang lalu.
Majlis dianjurkan oleh Para Pelatih PLK Gombak..semua diorang yang planning...saye sedia tempat dan setuju jer... Pelbagai aktiviti juga dibuat...selain dari majlis berbuka... kita solat maghrib, Isyak dan terawih berjemaah... tak g surau pun...sekadar dalam dalam rumah ja... Semue pelatih turut bermalam dan berqiamulail termasuklah bersahur...
Tentang menu berbuka... uuuu...memang best...sampai x sempat nak ambil gambar... apa-aper pun memang best dan tahniah...


Majlis Sambutan bebuka kali kedua...juga bersama para pelatih PLK Gombak pada 25 Ogos 2011 @25 Ramadhan 1432H. Kali nie buat kat luar pulak...iaitu di Kafe D' Manggis... Kuang, Selangor ....bukan DMAZA.Art... (yang tu belum tiba masa lagi..) Best la kat situ...banyak kemudahan.... lps berbuka terus solat dan surau yg disediakan.


 Tak kurang dengan peristiwa manis Ramadhan.... Tayar pancit tengah jalan... on the way nak ke Shah Alam..  terkena paku...terus pecah... yang sedih tu tayar sampai koyak dua... abisler rim kreta...bengkok2...
Terubat hati bila pelatih2 dapat membantu tukar tayar spair... destinasi dibatalkan... patah baik ke Sg Buloh... ganti tayar baru... oleh kerana semua tayar dah botak...kene tukar semue skali...termasuklah rim pun baru.... sbb dah tak leh berfungsi sempurna..

Panjang juge seretan tayar tu... mana x bengkok rim tu...